MELAKA: Pengusaha dan peniaga makanan pada acara karnival atau kedai makan tular di Melaka diberi amaran supaya tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya sehingga membebankan pengguna.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata pihaknya telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan pada karnival jualan makanan di beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah dan mendapati hampir kesemua peniaga menaikkan harga jualan hingga 200 peratus.

"Hasil pemeriksaan pada karnival makanan yang dianjurkan mendapati ada peniaga mengatakan mereka terpaksa mengenakan harga mahal kerana kos bahan mentah yang tinggi, namun ini bukanlah alasan untuk menaikkan harga jualan.

"Setakat ini, kita hanya memberikan amaran dan nasihat kepada peniaga, bagaimanapun KPDN tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya masih ada yang mengambil kesempatan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krimas 2023 di Pusat Beli-Belah AEON Ayer Keroh yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan turut dihadiri Timbalannya Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Mengulas lanjut, Norena berkata pihaknya juga memantau secara rapat promosi kedai-kedai makanan tular melalui aplikasi media sosial dan menjalankan pemeriksaan di lokasi untuk memastikan harga dikenakan adalah sama seperti yang ditawarkan kepada pengguna.

"Sebagai contoh, ada yang menunjukkan promosi untuk satu hidangan ialah RM70 tetapi apabila tiba di kedai, pengguna terpaksa membayar lebih, selain harga ditawarkan tidak termasuk minuman dan ini juga merupakan satu kesalahan.

"Kita berharap semua peniaga tidak mengambil kesempatan terutamanya menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang sudah pasti mereka mahu mempromosikan makanan kepada pelancong, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu perkara sedemikian memberi kesan kepada imej negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Norena berkata Op Terjah akan terus dilakukan bagi memastikan bekalan barangan kawalan kepada pengguna tidak terputus dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang menyorok bekalan diminta menyalurkannya kepada KPDN.

-- BERNAMA